Buku Polis Wanita

Judul – POLIS WANITA SEJARAH BERGAMBAR 1955-2007

Pengarang – Cif Inspektor Selamat Bin Sainayune

Penerbit – Kelana Publication Sdn Bhd (738766-P)

Genre – Sejarah / Ilmiah

Jumlah Halaman – 324 Muka surat

Tarikh Terbitan – November 2007

ISBN: 978-983-42258-0-3

Penjualan: Terdapat di kedai-kedai buku utama di seluruh negara, dan juga boleh membuat pesanan terus daripada penerbit di talian 03-78310322 atau 012-2336216 (Salina).

 

Sinopsis Buku

Penglibatan kaum wanita dalam institusi kepolisan negara sebenarnya bermula pada 23 Jun 1948, berikutan dengan ramainya golongan wanita yang terlibat dalam pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM) semasa Darurat pada tahun 1948. Pengambilan Mata-mata Khas Wanita atau Special Constabulary (SC) wanita mendapat sambutan yang begitu baik, terutama daripada mereka yang tinggal di luar Bandar. Anggota SC wanita ditugaskan di pintu-pintu masuk dan keluar di kampung-kampung baru. Mereka menjalankan tugas bersama anggota polis dan SC lelaki. Tugas yang dijalankan oleh mereka ialah sebagai Pegawai Pemeriksa atau Women Searcher terhadap kaum wanita dan kanak-kanak. Sebelum penubuhan SC wanita, tugas ini dahulunya dijalankan oleh isteri-isteri polis dan orang-orang awam yang dilantik sebagai pegawai pemeriksa wanita. Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Polis Wanita secara rasminya pada 1 Ogos 1955.

Setelah 52 tahun (mulai tahun 1955) berkhidmat, pegawai dan anggota polis wanita telah membuktikan kemampuan dan kecemerlangan mereka dalam berbagai bidang. Ternyata kehadiran mereka dalam pasukan polis merupakan pelengkap penting demi membolehkan PDRM berfungsi dan berperanan dengan lebih cekap dan berkesan mengikut nada dan selera rakyat yang semakin sofisikated. Dari seramai tujuh orang pegawai dan 54 orang anggota pada awal penubuhannya, keanggotaannya kini bertambah kepada 9,908 orang atau 10.6 peratus daripada jumlah keseluruhan keanggotaan PDRM. Pada masa ini terdapat empat orang pegawai polis wanita yang berpangkat Senior Asisten Komisioner Polis II (SAC II) dan seorang berpangkat Senior Asisten Komisioner I (SAC I), iaitu jawatan tertinggi yang disandang oleh pegawai polis wanita. Jawatan tertinggi ini adalah kelangsungan pangkat tertinggi yang pernah disandang oleh YDH Dato’ Zakiah Bte Laidin iaitu Deputi Komisioner Polis (DCP).

Kemampuan, kecekapan dan kewibawaan Polis Wanita dalam melaksanakan berbagai tugas kepolisan tidak perlu dipertikaikan lagi. Mereka dipertanggungjawabkan memelihara undang-undang dan ketenteraman, menjaga keamanan dan keselamatan negara, mencegah dan mengesan jenayah, menangkap dan mendakwa pesalah, mengumpul risikan keselamatan. Ternyata polis wanita dihormati dan diyakini oleh semua pihak sama ada di rantau Asia mahupun di peringkat antarabangsa.

 

Biodata Penulis

Cif Inspektor Selamat Bin Sainayune dilahirkan pada 1 September 1964 di Paloh, Kluang, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Paloh (I) dan kemudiannya di Sekolah Menengah Paloh. Beliau mula berkhidmat dalam Pasukan Polis pada 1 April 1984 sebagai Konstabel dan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak Kuala Lumpur. Setelah tamat latihan beliau telah bertugas di Cawangan Muzium PDRM. Beliau telah dinaikkan ke pangkat Koperal pada 1994 dan Sarjan pada 1996. Pada tahun 1997 beliau telah dinaikkan ke pangkat Inspektor. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang permuziuman di Universiti Sains Malaysia pada tahun 1999. Pada tahun 2000 beliau mula menjawat jawatan sebagai Penolong Kurator Bahagian Kajian dan Penyelidikan Muzium PDRM dengan pangkat Cif Inspektor hingga sekarang. 

Di sepanjang perkhidmatan, beliau telah banyak membuat kajian dan penyelidikan terutama dalam memperkemas dan menambahkan data-data sejarah kepolisan tanah air. Beliau turut menyumbangkan banyak hasil-hasil penulisan dan penyelidikan beliau kepada majalah-majalah terbitan polis dan membantu ramai penyelidik sama ada dari dalam atau luar negara yang membuat kajian terutama yang berkaitan dengan sejarah pasukan polis. Beliau juga menyumbangkan hasil-hasil penyelidikan beliau dalam bentuk buku. Buku-buku yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah Buku Sejarah Bergambar Institusi Polis di Malaysia Edisi Pertama yang telah diterbitkan oleh Persatuan Muzium Malaysia pada tahun 1982 dan Buku Sejarah Bergambar Institusi Polis di Malaysia Edisi Kedua yang telah diterbitkan oleh Muzium PDRM pada tahun 1997. Polis Wanita Sejarah Bergambar 1955-2007 adalah buku hasil kajian dan penyelidikan beliau berkaitan sejarah dan perkembangan Polis Wanita dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia dan merupakan hasil penulisan beliau yang ketiga.

 

Ulasan Buku

Sebenarnya penulisan secara mendalam tentang sejarah Polis Wanita tidak terdapat di negara kita sebelum ini. Penerbitan buku ini adalah bertujuan untuk mengenang sejarah dan menghargai sumbangan dan pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Polis Wanita bermula seawal tahun 1955 hingga sekarang. Keseluruhan kandungan  buku ini mengandungi fakta-fakta sejarah awal penubuhan pasukan polis wanita dan perkembangannya. Ini merupakan satu kajian awal  tentang sejarah penubuhan pasukan polis wanita dan boleh dijadikan sebagai bahan asas bagi kajian-kajian seterusnya kepada penulis yang berminat untuk mengkaji sejarah dan perkembangan polis wanita tanahair. Proses ini amat penting kerana masih banyak lagi perkara-perkara berkaitan dengan sejarah polis wanita yang masih belum terungkai untuk didedahkan kepada generasi baru Pasukan Polis dan masyarakat.

Buku ini memaparkan sejarah awal penubuhan Pasukan Polis bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hinggalah ke tahun 2007. Sejarah awal penubuhan pasukan polis wanita bermula dari zaman darurat 1948 dan pengambilan pertama seramai tujuh orang Polis Wanita berpangkat Inspektor Wanita ialah pada tahun 1955. Pengambilan pertama seramai 56 orang anggota Polis Wanita berpangkat Konstabel pula ialah pada tahun 1956. Buku ini juga mengupas tentang  perkembangan kerjaya serta penubuhan cawangan-cawangannya yang melibatkan penugasan pegawai dan anggota Polis Wanita. Penglibatan Polis Wanita dalam bidang Sukan, Seni dan PERKEP turut direkodkan. Sejarah tokoh-tokoh awal polis wanita dan tokoh-tokoh Polis Wanita yang cemerlang turut dimuatkan sebagai contoh kepada pegawai dan anggota polis khususnya Polis Wanita yang baru menceburi dalam bidang kepolisan.

Buku-buku berkaitan instisusi kepolisan tanahair harus dibaca oleh generasi muda khususnya para pelajar sekolah dan harus dijadikan bahan rujukan oleh pegawai dan anggota pasukan polis yang  berkhidmat serta pelatih-pelatih yang sedang menjalani latihan di Institusi Latihan Polis bagi menambah pengetahuan tentang sejarah sistem keselamatan negara di samping memekarkan semangat patriotisme. Buku Polis Wanita Sejarah bergambar 1955-2007 ini berupaya membuka minda pelajar khususnya pelajar wanita yang berminat untuk menyertai Pasukan Polis sebagai kerjaya masa depan mereka.

 

[Kembali ke Laman Utama]